8 Hak Sebagai Pengguna Yang Patut Kita Ketahui


Sebagai pengguna kita seharusnya ambil tahu tentang hak kita. Majoriti dari kita semua adalah pengguna. Tidak dinafikan bahawa terdapat sebilangan besar pengguna tidak ambil peduli tentang hak mereka dan ini menyebabkan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan penipuan dan penindasan terhadap pengguna.

Sedikit informasi saya ingin kongsikan tentang 8 hak yang harus kita tahu sebagai pengguna. Kredit saya berikan kepada www.e-pengguna.blogspot.com kerana informasi yang dikongsikan.

8 Hak Pengguna

1) Hak untuk mendapatkan keperluan asas.
Pengguna berhak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan berkeperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal yang selamat, kemudahan kesihatan dan pendidikan dan lain-lain. Keperluan seperti air yang bersih juga menjadi hak kita sebagai pengguna.

2) Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna berhak medapatkan jaminan keselamatan dari segi mutu sesuatu produk dan perkhidmatan yang diterima. Sebagai contoh jika makanan yang dibuat dari bahan yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna pasti memerlukan jaminan dan hak sebagai pengguna.

3) Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna hendaklah diberi maklumat yang cukup tentang sesuatu barangan dan perkhidmatan yang hendak ditawarkan. Pengguna wajib dilindungi dari dakyah pengiklanan, pelabelan, dan amalan palsu yang berkaitan penipuan dan juga penyelewengan.

4) Hak untuk membuat pilihan
Pengguna hendaklah dipastikan agar mendapat maklumat secara terus mengenai barangan dan perkhidmatan. Pengguna juga perlu diberi penerangan yang dapat memberikan pilihan dalam membuat keputusan. Selain itu pengguna perlu diberi jaminan mengenai mutu dan kualiti sesuatu barangan dan perkhidmatan sejajar dengan harga yang ditawarkan.

5) Hak untuk mendapat ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian. Misalnya, seseorang pengguna itu telah membeli sebuah mesin basuh tetapi seminggu kemudian, mesin basuhnyanya telah mengalami kerosakan, oleh itu pengguna itu berhak mendapatkan haknya sebagai pengguna dengan mendapatkan mesin basuh yang baru mengantikan yang lama daripada si penjual.

6) Hak untuk menyuarakan pendapat
Pengguna berhak menyuarakan pendapat apabila tidak berpuashati terhadap barangan atau perkhidmatan yang diperolehi atau secara mudah difahami setelah pengguna tidak mendapat layanan yang sewajarnya. Ganti rugi harus diberi bagi barangan atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan barangan atau perkhidmatan setelah mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian pengeluar.

7) Hak untuk mendapatkan pendidikan kepenggunaan
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak. Setuju tak ?

8) Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Hak pengguna bukan sahaja terbatas kepada proses jual beli, tetapi merangkumi keadilan sosial dan ekonomi, pendidikan, alam sekitar serta penyertaan masyarakat dalam proses demokrasi. Oleh itu, pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

Itu lah hak-hak yang seharusnya diketahui oleh kita sebagai pengguna yang bijak. Perlindungan hak pengguna yang diwartakan hendaklah digunakan sepenuhnya agar pihak pengeluar barangan dan perkhidmatan tidak melakukan penipuan dan penindasan terhadap setiap pengguna.

Semoga info ini membantu anda dan rakan-rakan anda yang lain. Sila kongsikan informasi ini jika ia memberi manfaat kepada anda. Sekian.


EmoticonEmoticon